Sejarah Penubuhan PINTA

Lebih dari 7 tahun beroperasi

PINTA adalah sebuah Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang menyatukan semua Madrasah dan Institusi yang menawarkan dan memperkasakan pendidikan Al-Quran kepada umat di Malaysia. PINTA ditubuhkan pada tahun 2016.

Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) merupakan persatuan institusi tahfiz yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). PINTA Kebangsaan dianggotai oleh 14 buah persatuan tahfiz yang mewakili 14 negeri di Malaysia. Sehingga kini, sebanyak 1,109 institusi Tahfiz bernaung di bawah PINTA Kebangsaan.

Nama Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (PINTA) mula kedengaran di bumi Malaysia pada tahun 2014, apabila sekumpulan pemikir dari kalangan pengusaha pusat tahfiz di Kuala Lumpur menubuhkan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kuala Lumpur (PINTA KL) sebagai satu usaha untuk membantu pusat-pusat tahfiz di sekitar Kuala Lumpur yang terlibat dengan pelbagai isu sama ada dengan Pihak Berkuasa Tempatan mahupun penduduk setempat, sedangkan tiada satu suara pun yang tampil membela nasib pusat-pusat tahfiz ini. 

Bermula dari situlah terdetik di hati Ustaz Zahid Mahmood Al-Hafiz yang menjadi pengerusi PINTA KL ketika itu untuk melihat nasib seluruh institusi tahfiz di Malaysia terbela dan suara mereka didengari serta pengajian ilmu mereka diiktiraf dan dimartabatkan.

Maka bersama rakan yang lain bermulalah safar beliau ke seluruh pelusuk tanah air untuk mencari pengusaha-pengusaha dan juga guru-guru tahfiz yang berkeinginan untuk bersama-sama dalam perjuangan ini bagi menubuhkan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran di setiap negeri.

Pada peringkat awal, himpunan 10,000 Huffaz diadakan pada tahun 2015 yang dirasmikan oleh Menteri Agama pada waktu itu berlangsung di Masjid Wilayah. Tanggungjawab memastikan hak pendidikan Islam ini dilaksanakan dengan sebaiknya, adalah satu tanggungjawab pemerintah serta masyarakat secara keseluruhannya.

Bagi membolehkan hak ini dapat disempurnakan dengan saksama, maka sangat penting falsafah, konsep, ciri-ciri serta sistem pendidikan tahfiz di madrasah ini difahami terlebih dahulu oleh pihak yang bertanggungjawab dalam menggubal bidang pendidikan. Atas dasar ini PINTA telah mencadangkan kepada pihak kerajaan satu kertas kerja DPTN (Dasar Pendidikan Tahfiz Negara) bagi memperkasa Institusi Tahfiz Al Quran yang ketika itu perkataan institusi Tahfiz tidak pernah disebut dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Kemudian pada tahun 2016 DPTN dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu dalam himpunan 20,000 Huffaz yang berlangsung di Masjid Wilayah. Seterusnya pada tahun 2017 PINTA sekali lagi mengadakan himpunan 30,000 Huffaz yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat dan Ulama’ dari seluruh pelosok dunia.

Himpunan demi himpunan diadakan bukan sekadar ingin berkumpul dan bersurai namun bagi membuka mata masyarakat peri pentingnya pendidikan Tahfiz ini dan menjalin erat hubungan bersama kerajaan pemerintah agar setiap isu Institusi Tahfiz dapat kita ketengahkan dan bawa ke peringkat atasan.

Era memperkasa DPTN pasca Covid 19 ini semestinya sangat mencabar untuk dibangunkan dengan matlamat bagi memastikan bahawa kanak-kanak dan warga negara Malaysia yang belajar di institusi tahfiz ini turut mendapat hak asasi pendidikan yang setara dengan sekolah kerajaan yang ada.

Walaupun sebahagian besar pelajar tahfiz ini bukan dari sekolah kerajaan, namun ia termasuk sebagai antara hak asasi pendidikan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 12 (2) Perlembagaan serta Perkara 14, 17, 18, 28 dan 29 Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang diratifikasi Malaysia pada 17 Februari 1995. Oleh itu pada bulan mac tahun 2023, PINTA telah mengadakan perhimpunan 23,000 Huffaz dengan penghayatan tema “Pendidikan Tahfiz Hak Asasi Pendidikan Umat Islam”

Ulama’ dan pemikir islam sebagai penyambung warisan perjuangan selama lebih 1,400 tahun agama Islam yang suci ini tertegak dimuka bumi dan telah melalui pelbagai fasa dan corak jatuh bangun pemerintah zaman berzaman namun dengan para pendokongnya tetap teguh membawa prinsip dan menjunjung nilai nilai murni Islam. 

Pendidikan al-Quran dan tahfiz al-Quran adalah antara ramuan terpenting dalam konteks memelihara agama, sekali gus menolak tohmahan dan fitnah golongan ekstremis terhadap agama Islam yang suci ini, sama ada fitnah dan ancaman oleh ekstremis radikal mahupun ancaman pemikiran oleh kelompok pelampau liberalisme yang semakin galak melebarkan fahaman mereka dalam kalangan masyarakat kita hari ini.

Dengan iringan doa tulus ikhlas, semoga legasi agung yang ditinggalkan oleh Baginda Nabi saw terus diperjuangkan demi kecemerlangan agama, bangsa dan negara. 

Oleh Pengurusan PINTA

Pengerusi Negeri

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit. Ut elit tellus, luctus nec ullamcorper mattis, pulvinar dapibus leo.

Ust. Mohd Zahid Bin Mahmood

Pengerusi PINTA Kuala Lumpur
Presiden PINTA Kebangsaan

Ust. Mohd Dailami Bin Che Age

Pengerusi PINTA Selangor

Ust. Zulkifli Bin Husain

Pengerusi PINTA Kelantan

Ust. Mohd Edrus Bin Ab Rahman

Timbalan Pengerusi PINTA Selangor

Ust. M.Raziz Bin Rajali

Pengerusi PINTA Melaka

Ust. Hj Aiman Bin Hj Zainal Abidin

Pemangku Pengerusi PINTA Penang

Ust. Shuzaimi Aidy Bin Samsudin

Pengerusi PINTA Kedah

Ust. Abdul Salam Bin Abdul Ghani

Pengerusi PINTA Pahang